u/CanaryCarnation

Kekuasaan Allah yang mengatur
▲ 661 r/MalaysianExMuslim+1 crossposts

Kekuasaan Allah yang mengatur

Kalau lihat awan dari tingkap pesawat, saya selalu bayangkan 'cotton candy'.

Gebu, lembut dan sangat menenangkan.

Kadang-kadang dari ketinggian itulah kita rasa betapa kecilnya diri, dan betapa hebatnya ciptaan Allah yang selama ini mungkin kita lupa untuk memikirkan kebesaran Allah.

Dalam gambar ini, adalah awan cumulonimbus.

Awan Cumulonimbus ini adalah jenis awan besar, tinggi dan tebal yang biasanya terbentuk dalam keadaan cuaca panas dan lembap. Jenis awan inilah yang menghasilkan ribut petir, hujan lebat, kilat, angin kencang, malah puting beliung.

Dan awan ini sangat berat!

Bukan berat biasa-biasa tau.

Hebatnya Allah,

awan yang berat mampu terapung di langit tanpa ada apa-apa yang perlu menahan.

Ciptaan Allah memang luar biasa.

Para saintis meteorologi hanya mula menganggarkan berat sebenar awan secara terperinci sekitar tahun 1990 an.

Kajian mendapati satu awan jenis Cumulonimbus boleh mencecah 1 bilion kilogram, bersamaan lebih 100,000 ekor gajah. Sedangkan awan kecil Cumulus sahaja pun boleh seberat 500,000 kg ,

kira-kira 100 ekor gajah!

Semua ini diceritakan di dalam Al Quran sudah sekian lama.

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat ke-12, Allah berfirman,

اللَّهُ الَّذِي يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنشِئُ السَّحَابَ الثِّقَالَ

"Allah yang memperlihatkan kilat kepada kamu (yang menimbulkan) rasa takut dan harap, dan Dialah yang membentuk awan yang berat."

Satu frasa ringkas,

السَّحَابَ الثِّقَالَ

awan yang berat.

Allah memang maksudkan awan ini benar-benar berat secara fizikal, bukan satu metafora.

SubhanAllah.

Bila memahami ayat ini,

Ayat ini mengingatkan diri saya dan kita semua,

Allah Maha Kuasa, Allah mengawal seluruh alam.

Kilat, petir, dan awan berat bukan terjadi sendiri. Semuanya dicipta, dikawal dan diizinkan oleh Allah. Bukan alam bertindak sendiri. Ini peringatan untuk kita sentiasa sedar kuasa Allah bekerja di sekeliling kita.

Kilat dan ribut dan hujan lebat sangat menakutkan, tapi juga membawa kita untuk terus bergantung harap dengan Allah.Sama seperti dalam kehidupan, kita diuji, tapi dalam ujian itu ada rahmat.

Kasih sayang Allah, mengatasi Kuasa-Nya. Ikutkan Allah boleh turunkan seberat itu. Tapi Allah sayangkan kita .

Allah turunkan dalam bentuk titisan kecil.

Saya pernah tonton satu video di YouTube.

Seorang saintis pernah menjalankan satu eksperimen fizikal, menggunakan jengkaut besar untuk mencurahkan sejumlah air setara berat awan ke atas sebuah kereta.

Hasilnya?

Kereta itu hancur total lost!

Boleh bayangkan apa akan jadi kalau Allah turunkan hujan seberat 100 ekor gajah terhempap atas kita?

Pasti bencana berlaku setiap kali hujan.

Tetapi Allah, dengan kasih sayang dan rahmat-Nya, menurunkan air setara ribuan tan itu dalam bentuk titisan-titisan halus, melalui sistem awan, angin, suhu, dan graviti,

agar bumi dapat menerima manfaat, bukan kebinasaan.

Lihat pula ayat ke 17 dari Surah Al-Mulk,

أَمْ أَمِنتُم مَّن فِي السَّمَاءِ أَن يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا ۖ فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

“Atau apakah kamu merasa aman terhadap (Allah) yang di langit akan mengirimkan kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu? Maka kamu akan mengetahui bagaimana (akibat dari) peringatan-Ku.”

"Adakah kamu rasa aman?"

Di dalam ayat ini Allah tanyakan dan memberi peringatan keras pada diri saya dan kita semua, bahawa azab boleh berlaku bila-bila masa jika manusia terus lalai.

Ayat ini mengingatkan kita kepada kekuasaan Allah yang mengatur dari langit, termasuk cuaca dan bencana.

Lihat seperti kaum Nabi Luth,

Kaum Nabi Luth a.s. adalah kaum Sodom dan Gomorrah, yang terkenal kerana mengamalkan homoseksual secara terbuka dan tanpa rasa malu. Mereka bukan sahaja menolak dakwah Nabi Luth, bahkan mencabar baginda dan terus melakukan maksiat secara terang-terangan.

Akhirnya Allah menurunkan azab kepada mereka.

Tanah mereka diterbalikkan,

bumi diangkat ke langit dan dibalikkan.

Hujan batu (haasib) dari tanah yang terbakar, seperti disebut dalam

Surah Al-Hijr ayat 74,

"Lalu Kami jadikan bahagian atas kota itu ke bawah, dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar."

Peringatan besar buat diri kita semua.

Bila melihat alam dan kekuasaan Allah, sepatutnya menjadi peringatan agar kita lebih tunduk dan taat kepada Allah.

Hari ini,

Kita hidup di akhir zaman yang disekeliling kita jahilliyah tersangatlah pekat.

Saling tak tumpah seperti kaum kaum yang Allah binasakan dalam alQuran.

Hari ini, jika kita melihat budaya sama kembali, ia bukan sekadar sejarah, ia peringatan keras agar kita tidak ulang kesilapan yang sama.

Hidup menormalisasikan dosa.

Mempersendakan dakwah.

Bila datang kebenaran, hanya dipersendakan dan sebolehnya menggunakan logik akal menolak semua kebenaran.

Kita leka dengan nikmat, rasa ‘okay je’.

Ayat ke 17 dari surah Al mulk ini mengingatkan kita jangan rasa terlalu yakin selagi belum kembali pada Allah.

Azab Allah bukan hanya kisah dahulu.

Allah boleh turunkan azab bila bila masa. Kita semua hari ini hidup dalam Rahmat dan kasih sayang Allah semata-mata. Walaupun penuh kemaksiatan di sekeliling kita, Allah tetap beri peluang pada kita.

Hari ini, bila umat Islam jauh dari al-Quran, akhlak runtuh, zina normal, LGBTQ dipertahankan,

adakah kita rasa Allah tak perhatikan semua ini?

Allah tidak terus menghukum. Allah masih beri masa dan peluang untuk kita taubat.

Jangan sesekali sia-siakan peluang Allah beri.

Kerana jika terus berkeras menolak peringatan, akan datang azab Allah sangat dahsyat dan tidak mampu lagi kita nak dielakkan.

Jangan sesekali rasa terlalu aman.

Allah bukan sekadar memberi nikmat, Dia juga Pemberi peringatan.

Kalau nasihat dan ilmu tak menyedarkan kita, mungkin bala yang akan menyedarkan.

Moga kita sentiasa berusaha untuk patuh dan tunduk pada Allah dan kembali taubat dengan sebenar-benar taubat.

Syahirah Omar.

#TOTIQ4

#YayasanUmmiMalaysia

12/11/2025 Syahirah Omar on FB

u/CanaryCarnation — 23 hours ago

Dilahirkan sebagai Muslim tidak menjamin kita mati sebagai seorang yang benar-benar Muslim

“Dilahirkan sebagai Muslim tidak menjamin kita mati sebagai seorang yang benar-benar Muslim.”

Satu ayat yang benar-benar menyentap jiwa.

Saya ada satu soalan untuk kalian,

Pada usia berapa kah kalian sedar yang

menjadi orang Islam tidak cukup sekadar dilahirkan dalam keluarga Islam?

Kita semua ada jawapan masing-masing.

Ada mula nampak waktu masih muda.

Ada yang sudah lewat usia.

Satu kebenaran yang pahit untuk ditelan.

Agama Islam kita anuti ini,

Tak cukup jika sekadar tertulis pada kad pengenalan.

Jika Islam hanya tinggal pada kad pengenalan, ia tidak akan mampu menyelamatkan kita di hadapan Allah nanti.

Islam kita juga tak cukup jika bergantung pada A+ subjek Pendidikan Islam yang pernah kita pelajari di bangku sekolah dahulu.

Kerana,

Kita belajar pendidikan agama Islam pun hanya untuk lulus peperiksaan,

bukan untuk membentuk prinsip hidup.

Jadi, memang tak pernah cukup.

Menjadi seorang Muslim yang benar-benar patuh dan tunduk kepada Allah memerlukan sesuatu yang jauh lebih dalam daripada itu.

Tidak semua daripada kita dilahirkan dalam keluarga

yang benar-benar memahami Islam sebagai cara hidup.

Ada yang membesar dengan Islam sebagai budaya,

bukan sebagai pegangan.

Solat dilakukan kerana disuruh.

Puasa kerana ikut suasana.

Agama Islam ni sekadar hanya diwarisi,

bukan dicari.

Ada yang membesar dalam keluarga Islam, namun saat mati lansung tak pernah benar-benar mengenal Allah.

Kerana,

jika Islam hanya diwarisi tanpa difahami, ia akan gugur saat diuji nafsu dan dunia.

Sebab itu bila dewasa, ramai yang keliru dan terjerumus dengan maksiat.

Hidup terasa kosong.

Waktu tu kita mula terfikir,

Mengapa solat dan segala ibadah langsung tidak membentuk jiwa?

Mengapa bila buat dosa maksiat terasa biasa?

Langsung tak ada rasa bersalah dengan Tuhan.

Mengapa hati masih kosong walaupun agama tidak pernah ditinggalkan?

Takkanlah Islam begini?

Bukan kerana Islam itu tidak sempurna,

tetapi kerana kita belum benar-benar memahami apa itu Islam.

Dalam surah al Hujurat ayat ke 14,

Allah rakamkan satu kisah yang sangat besar maknanya untuk kita semua fikirkan.

Kisah Arab Badwi yang datang menemui Rasulullah.

Mereka hadir ke Madinah ketika Islam sudah kuat. Daulah Islam semakin stabil.

Waktu itu,

Ramai kabilah mula tunduk. Semua kabilah yang memilih untuk masuk Islam, bukan masuk kerana keyakinan,

tetapi kerana tidak mahu ketinggalan daripada arus kemenangan.

Senang nak faham mereka rasa FOMO la kiranya waktu itu kalau tak masuk Islam.

Bila dah masuk Islam, dengan penuh yakin mereka pun berkata,

“Kami telah beriman.”

Namun Allah Yang Maha Mengetahui segala isi hati setiap dari mereka telah menurunkan satu ayat teguran buat mereka.

قَالَتِ ٱلْأَعْرَابُ ءَامَنَّا ۖ

قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا۟ وَلَـٰكِن قُولُوٓا۟ أَسْلَمْنَا

وَلَمَّا يَدْخُلِ ٱلْإِيمَـٰنُ فِى قُلُوبِكُمْ

“Orang-orang Arab Badwi berkata: ‘Kami telah beriman.’

Katakanlah: Kamu belum beriman,

tetapi katakanlah: ‘Kami telah Islam’,

kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu.”

Ayat ini mengingatkan diri saya dan kita semua,

Allah tidak menafikan keislaman mereka. Allah tidak mengkafirkan mereka. Tetapi Allah membezakan sesuatu yang sangat halus

dan sering kita terlepas pandang.

Islam pada zahir

tidak semestinya sama dengan

iman yang benar-benar hidup di dalam hati.

Seseorang boleh mengucap syahadah,

namun belum tunduk sepenuhnya.

Mungkin solat 5 waktu boleh melakukan ibadah,

tetapi masih memilih hukum Allah mengikut kehendak diri.

Ikut bila perlu,

Ikut mengikut kesesuaian emosi dan situasi.

Boleh berada di tengah masyarakat beragama,

namun hatinya masih terikat kuat kepada dunia.

Dan ayat ini tidak diturunkan untuk Arab Badwi semata-mata.

Ayat ini untuk kita sedang menyoal diri kita saat ini. Kerana alQuran memang menceritakan tentang pelbagai pattern manusia.

Jadi teguran ini adalah tepat untuk setiap dari kita.

Tanya diri kita,

Jika iman benar-benar hidup,

mengapa dosa masih dilakukan tanpa rasa takut?

Jika iman benar-benar telah masuk ke hati,

mengapa hukum Allah masih ditimbang dengan logik manusia?

Jika iman benar-benar berakar,

mengapa redha manusia lebih kita jaga daripada redha Tuhan?

Inilah sebabnya Rasulullah saw mengingatkan bahawa

Islam akan kembali menjadi asing,

sebagaimana ia bermula dahulu.

Hari ini Islam itu asing.

Bukan kerana tak ada masjid .

Bukan kerana tak ada lagi dah al-Quran.

Tetapi kerana iman semakin sukar dipertahankan.

Hari ini,

Yang makruf dipersoalkan.

Yang mungkar dinormalisasikan.

Kebenaran dianggap keras.

Kepatuhan pula dilabel ekstrem.

Sebab itu setiap dari kita perlu kembali memahami Islam sepenuhnya.

Kena paksa diri dan work hard untuk fahami Quran, dan jadikan sebagai GPS kehidupan.

Jangan tunggu 'nanti',

kerana tak ada jaminan kita semua akan sampai ke fasa 'nanti'.

Moga Allah terus memilih kita untuk diberi kefahaman Islam.

Syahirah Omar.

26/01/2026 Syahirah Omar on FB

u/CanaryCarnation — 4 days ago

Hidup di dunia ini cuma sekali

Menarik juga bila baca perkongsian brother Nabel ni.

"Belajar 20 tahun.

Kerja 40 tahun.

Bebas 5–10 tahun.

Kemudian mati.

It's a scam."

Bila dibaca sekali lalu, macam biasa saja.

Tapi bila direnung lama-lama,

rupanya kita memang sedang hidup ikut skrip itu. Saya tidak pasti brother Nabel maksudkan apa, namun saya perhatikan inilah kehidupan yang kebanyakan dari kita lalui.

Sejak kecil kita disusun untuk percaya

hidup mesti begini,

Sekolah.

Kejar result.

Masuk universiti.

Cari kerja elok.

Beli rumah.

Kumpul aset.

Tua boleh keluar KWSP.

Pergi masjid, belajar agama.

Kemudian barulah “tenang”.

Dan entah kenapa,

agama selalu diletakkan di hujung sekali. Terpisah-pisah dari kehidupan.

Satu kebenaran yang kita semua perlu akui. Dalam tak sedar, kita banyak memisahkan agama dari kehidupan kita.

“Nanti dah tua aku fokus.”

“Nanti bila hidup dah stabil.”

“Nanti bila anak dah besar.”

Padahal tiada siapa pernah janji

kita akan sempat sampai ke fasa “nanti”.

Tak ada siapa mampu janjikan kita berjaya hidup sampai esok hari. Mungkin sekejap lagi Allah jemput kembali.

.

.

.

Saya selalu terfikir,

kalau hidup ini sekadar ulang rutin yang sama,

bangun, kerja, penat, tidur,

apa bezanya kita dengan mesin?

Sedangkan Allah sendiri bertanya kita dalam surah Al Mu'minun ayat 115,

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

“Apakah kamu menyangka Kami menciptakan kamu dengan sia-sia?”

Ayat ini bukan sekadar pertanyaan.

Ia teguran buat diri saya dan kita semua.

Allah tidak bertanya kerana Allah tidak tahu. Allah bertanya kerana kita manusia terlalu lama lupa.

Seolah-olah Allah berkata,

“Kamu benar-benar fikir hidup ini sekadar makan, kerja, penat, tidur… lalu mati?”

“Kamu sangka usia yang Aku pinjamkan ini tidak akan dipersoalkan?”

Kadang kita hidup terlalu sibuk,

sampai tak sedar kita sedang bernafas

tanpa tujuan yang jelas.

Kita bangun pagi kerana kerja.

Kita kejar kerana tanggungjawab dunia.

Kita letih kerana rutin.

Semuanya kerana kita lakukan apa saja bukan kerana untuk mendapat redha Allah semata.

.

.

.

Bila kita lihat sirah,

kita sedar Rasulullah tidak mentarbiyah generasi yang biasa-biasa.

Mereka adalah orang biasa sama seperti kita, yang tidak memilih hidup yang biasa-biasa.

Bilal bin Rabah

Seorang hamba berkulit hitam.

Tiada harta, tiada kedudukan di mata manusia.

Di mata dunia,

dia hanyalah manusia kelas paling bawah.

Namun ketika diseksa di tengah padang pasir,

dadanya ditindih batu besar,

lidahnya tetap basah menyebut,

“Ahad… Ahad…”

Bilal boleh saja memilih hidup biasa-biasa.Mengaku kufur agar seksaan berhenti. Tetapi dia memilih hidup luar biasa.

Kerana imannya tahu,

hidup ini hanya sekali,

dan ia terlalu mahal

untuk dijual demi kebahagiaan sementara.

Allah mengangkat Bilal

hingga suaranya menjadi azan

yang pertama bergema di langit Madinah.

Dunia tidak pernah menjanjikan kemuliaan,

tetapi Allah memberinya.

Lihat pula kehidupan Mus‘ab bin ‘Umair,

anak muda paling kaya di Makkah.

Pakaiannya mahal.

Hidupnya mewah.

Namun bila Islam masuk ke hati,

semuanya dilepaskan.

Akhir hidupnya,

kain kafan pun tidak cukup menutup tubuh.Tetapi namanya kekal hidup

hingga hari ini kerana perjuangan dalam nak menegakkan Islam.

Mereka bukan malaikat.

Mereka manusia sama saja seperti kita.

Bezanya cuma satu,

Mereka tidak meletakkan Allah di tempat yang terakhir dalam kehidupan.

Mereka jelas tujuan mereka diciptakan dan untuk apa mereka hidup di dunia ini.

.

.

.

Hari ini mungkin kita selalu bertangguh.

“Nanti aku dah pergi umrah, Aku nak tutup aurat ”

“Nanti aku dah pencen, bolehlah taubat.”

“Nanti bila dah tak sibuk dengan kerja aku belajar faham Quran.”

Sedangkan ramai orang

tidak sempat sampai ke “nanti”.

Hidup di dunia ini cuma sekali.

Sekali Allah beri nafas.

Sekali Dia beri peluang.

Sekali kita diuji di dunia ini.

Maka terlalu rugi

kalau usia yang singkat ini

dihabiskan hanya untuk jadi orang biasa-biasa.

Bukan biasa pada dunia,

tetapi biasa pada ketaatan.

Tak apa hidup sederhana.

Tak apa tak dikenali.

Asalkan bila kita pergi nanti,

kita bukan orang yang biasa-biasa.

Hiduplah sebagai hamba

yang apabila meninggalkan dunia,

meninggalkan legasi iman, amal dan manfaat untuk ummah.

Syahirah Omar

22/01/2026 Syahirah Omar on FB

u/CanaryCarnation — 5 days ago

Book Review: The Boy Crisis

Maaf, review ni agak panjang. InsyaAllah berbaloi untuk dibaca terutamanya ibu ayah yang sedang berjuang membesarkan anak lelaki.

The Boy Crisis.

Sejujurnya, buku ini bukan jenis buku yang kita habis baca, tutup, kemudian terus move on macam itu saja.

Buku ini buat saya terjeda sekejap.

Buat saya fikir semula tentang satu keresahan yang saya rasa ramai ibu ayah sebenarnya sedang serabut fikirkan.

Bukan mudah membesarkan anak lelaki pada zaman sekarang.

Bukan sebab kita suka berlebihan dalam berfikir.

Tetapi sebab dunia hari ini memang terlalu kuat menarik anak lelaki ke arah yang salah.

Terlalu banyak benda yang melalaikan.

Terlalu banyak benda yang melemahkan.

Terlalu banyak benda yang buat anak lelaki nampak hidup, tetapi sebenarnya kosong.

.

.

Dan inilah yang saya rasa penulis cuba bongkarkan dalam buku ini.

Krisis anak lelaki hari ini bukan sekadar isu akademik.

Bukan sekadar isu perangai.

Bukan sekadar isu budak lelaki yang susah dengar cakap.

Lebih dalam daripada itu.

Ini krisis tujuan hidup.

Krisis emosi.

Krisis identiti.

Krisis ayah.

Krisis pembentukan.

.

.

Ramai anak lelaki hari ini membesar, tetapi tidak benar-benar dibina.

Tubuh membesar.

Umur bertambah.

Tetapi jiwa belum tentu.

Sebab itu saya tertarik bila buku ini banyak bercakap tentang purpose.

Anak lelaki perlukan lebih daripada sekadar peraturan.

Mereka perlukan sebab untuk hidup dengan betul.

Mereka perlu tahu kenapa mereka perlu bangun.

Kenapa mereka perlu bertahan bila susah.

Kenapa mereka perlu belajar kawal diri.

Kenapa mereka tidak boleh hidup ikut nafsu dan mood semata-mata.

.

.

Kalau anak lelaki tidak jumpa tujuan, tenaga mereka akan cari jalan sendiri.

Dan selalunya, jalan itu bukan jalan yang baik.

Sebab itulah ramai nampak anak lelaki hari ini macam malas.

Macam tak fokus.

Macam tak serious.

Macam tak kisah masa depan.

Padahal mungkin jauh di dalam, mereka sebenarnya hilang arah.

.

.

Satu lagi bahagian yang sangat kuat dalam buku ini ialah tentang ayah.

Dan saya rasa ini bahagian yang ramai orang tak mahu cakap betul-betul.

Ayah bukan aksesori keluarga.

Ayah bukan watak tambahan dalam rumah.

Ayah bukan sekadar mesin cari duit.

Ayah ialah PEMBINA.

Ayah bantu anak kenal sempadan.

Ayah latih anak hadap risiko.

Ayah cabar had anak.

Ayah bentuk keberanian.

Ayah bentuk daya tahan.

Ayah bentuk cara seorang anak lelaki melihat hidup.

Bila ayah kabur, anak lelaki pun mudah kabur.

Bila ayah lemah peranan, anak lelaki juga sukar untuk dibentuk.

.

.

Sebab itu buku ini banyak sentuh tentang pentingnya seorang ayah hadir, bukan sekadar secara fizikal, tetapi hadir dengan peranan, dengan arah, dengan kesedaran.

Buku ini juga menyentuh satu hakikat yang pada saya agak menyentap.

Ramai anak lelaki nampak okay dari luar.

Mereka tak semestinya pandai meluah.

Tak semestinya menangis.

Tak semestinya pandai cerita apa yang mereka rasa.

Kadang-kadang mereka cuma memakai topeng,

“Saya okay.”

Sedangkan di dalam, mungkin ada luka yang tak pernah dibaca.

Ada sunyi yang tak pernah dipeluk.

Ada tekanan yang tak pernah difahami.

Sebab itu bila kita bercakap tentang anak lelaki, kita tak boleh sekadar fikir mereka perlukan disiplin.

Ya, mereka perlukan disiplin.

Tetapi mereka juga perlukan dihargai,

Perlu dipimpin.

Perlu dirangkul.

Perlu dibentuk dengan sedar.

Mereka juga berhak untuk mendapat semua ini.

Kalau tidak, anak lelaki yang terluka boleh membesar menjadi lelaki yang melukakan.

Dan ini yang paling mengganggu sepanjang pembacaan,

Kerana bila seorang anak lelaki gagal dibentuk, kesannya tak berhenti pada dirinya seorang.

Dia akan bawa semua itu masuk ke alam dewasa.

Masuk ke alam perkahwinan.

Masuk ke alam ayah.

Masuk ke alam masyarakat.

Sebab itu walaupun tajuk buku ini The Boy Crisis,

penulis banyak juga sentuh tentang men.

Kerana budak lelaki hari ini ialah lelaki masa depan.

Kalau hari ini anak lelaki dibesarkan tanpa tujuan, tanpa pembentukan, tanpa kehadiran ayah yang bermakna, maka jangan hairan kalau esok kita berdepan lelaki dewasa yang juga keliru tentang identiti, rapuh emosinya, tidak jelas tanggungjawabnya, dan kabur hala tuju hidupnya.

.

.

Itu sebabnya saya rasa isu ini bukan kecil.

Ini bukan isu budak lelaki semata-mata.

Ini isu generasi.

Dan terus terang, bila saya fikir semua ini, saya makin rasa beratnya amanah membesarkan anak lelaki.

Kerana kita bukan sekadar membesarkan mereka untuk hidup.

Kita sedang membesarkan mereka untuk memikul amanah.

Kita sedang membesarkan mereka untuk menjadi rijal yang qawwam.

Dan qawwam itu bukan muncul sendiri bila seorang lelaki sudah besar.

Bukan juga automatik wujud bila dia sudah berkahwin.

Qawwam dibina.

Dibina sejak kecil.

Dibina dengan disiplin.

Dibina dengan misi.

Dibina dengan tarbiyah.

Dibina dengan kejelasan tentang siapa dirinya di sisi Allah.

.

.

Pada saya, seorang ayah sendiri mesti jelas dengan tujuan hidupnya sebagai seorang Muslim.

Kerana anak-anak tidak dibentuk hanya dengan nasihat.

Mereka dibentuk dengan siapa ayah mereka sebenarnya.

Kalau ayah sendiri hidup tanpa arah, macam mana dia mahu melahirkan anak yang ada arah?

Kalau ayah sendiri tak jelas untuk apa dia hidup,

macam mana dia mahu membimbing anak mengenal amanah hidup?

.

.

Hakikatnya,

tujuan hidup seorang Muslim bukan sekadar bekerja, cari duit, beli rumah, dan habiskan umur.

Kita hidup untuk beribadah kepada Allah.

Kita hidup untuk memikul amanah.

Kita hidup untuk menjadi hamba-Nya dan khalifah-Nya.

Sebab itu anak lelaki tak boleh dibesarkan sekadar supaya dia “jadi orang”.

Dia mesti dibesarkan supaya dia tahu kenapa dia diciptakan.

Dia mesti dibesarkan supaya satu hari nanti dia mampu berdiri sebagai lelaki yang memimpin dengan iman, bukan ego.

Dengan tanggungjawab, bukan nafsu.

Dengan amanah, bukan sekadar kuasa.

Dan pada saya, itulah yang paling besar.

Kerisauan kita terhadap anak lelaki sebenarnya bukan sekadar takut dia gagal dalam hidup.

Tetapi takut kalau kita gagal membentuk seorang lelaki yang tahu tujuan hidupnya di sisi Allah.

Syahirah Omar

03/04/2026 Syahirah Omar on FB

u/CanaryCarnation — 6 days ago

Embarrassed of my teeth, where do I start fixing?

I've been to the government dentist's regularly for the past 3 years and before that I've been to my uni dentist regularly where they did a lot of fixing to my teeth. I had a lot of cavities, growing up I was feral when it comes to personal hygiene and I'm regretting it now in my 30s.

Things I'm concerned about:

  1. the stained cavities behind my two front teeth. those two spots are very visible from afar.

  2. my teeth are uneven in colour. they're translucent and opaque in some parts, with yellow staining in some places.

These things are never acknowledged by my dentists, and I haven't been to a private one to ask what my options are.

I'd like my teeth to be even in colour and I'd like to educate myself on how to achieve it. Need help! Thank you in advance.

u/CanaryCarnation — 7 days ago

Stand with the truth, no matter what

25/09/2018

Hari ini baca post viral tentang quit houseman.

Houseman dan quit memang tak dapat dipisahkan.

Aku hampir 100% pasti, setiap houseman pernah cakap "aku nak quit".

Aku pun. Nama pun manusia. Ada naik turunnya.

Pernah satu tahap, setiap hari.

Aku cakap kat mak,

"Nak berhenti"

Mak cakap, cari sejuta dulu.

Sebab nak bayar balik duit biasiswa aku 😅

Pastilah ada fasa down sebegini dalam hidup kita.

Bila kita rasa kita tak boleh nak move on lagi dengan masalah yang ada.

Berada dalam persekitaran 'toksik, aku boleh katakan bukan mudah pun untuk bertahan ke akhirnya. Banyak yang telah aku juga hadapi. Seperti orang lain juga.

Namun satu sahaja yang aku ingat dan sampai bila-bila ada parut besar di dada.

.

Tidak semua tahu, bahkan kawan-kawan sendiri tak tahu. Aku menjalani houseman di dua buah hospital. Bukan satu.

Kes rare.

(Mana ada houseman lain houseman dua hospital kecuali kalau tukar sebab suami atau isteri atau sakit dan sebagainya)

Tapi kes aku,

Aku sendiri minta tukar keluar sebab kes besar yang berlaku terhadap aku dan aku tak mampu untuk bertoleransi dengan kejahatan itu.

Apa yang aku hadapi lebih besar dari kena sekeh kepala. Atau dibaling fail. Dimengorat atau dikatakan perkataan bebaur...

Diherdik. Ditengking. Disuruh terjun luar tingkap.

Semua yang disebut ini aku boleh tahan lagi sebab semua orang pun hadapi.

Tapi, apa yang aku hadapi itu jauh dari apa yang aku sangka. Ia buatkan hidup aku gelap segelapnya namun aku bersyukur kerana ia membuka mata aku pada realiti sistem yang ada.

Aku telah dijadikan mangsa keadaan dan dijadikan kambing hitam yang secara sengaja atau tidak menjadi mangsa yang tersepit di antara dua jabatan.

Satu bersama aku dan satu against aku.

Aku dipaksa berbohong dan katakan apa yang tidak aku lakukan.

Akibat perbohongan aku itu, boleh memenangkan yang salah dan mengkalahkan yang benar.

Aku dipanggil oleh pihak A, dan kemudian dipanggil oleh pihak B. Bila aku katakan aku mahu bercakap benar, aku diugut untuk bercakap yang salah. Keduanya ada kepentingan. Keduanya memaksa aku menceraikan badan.

Masa inilah aku baru lihat realiti betapa dasyatnya seorang ketua dan pemimpin yang diharap boleh membela. Rupanya mereka racun yang menelan kita. Baru aku dapat lihat betapa kotornya sistem yang ada.

Betapa bila kita ada kuasa, kita akan pijak anak-anak kita dan lakukan sewenangnya bahkan dosa kerana yang lebih bernilai adalah nama dan nama. Dan kali itu, aku adalah mangsa.

Aku masih ingat lagi seorang pakar yang juga ketua jabatan yang terlibat, dalam nada sinis ketawa katakan pada aku, aku akan kalah jika aku memilih untuk berkata yang benar. Dia kemudian pujuk aku, come on, sekali je tipu. Untuk kebaikan kita juga. Kebaikan jabatannya.

Jujur aku rasa macam bermimpi. Tak sangka boleh terlibat dalam konflik dua kuasa itu.

Untuk mudah kerja aku, memang senang sahaja jika aku bersetuju dan turut menipu. Tapi sungguh itu bukan aku.

Saat aku cuba bersabar dan mengatakan kebenaran, akhirnya aku ditindas oleh sistem yang terus memaksa aku melakukan penipuan.

Hingga aku tak mampu toleransi lalu aku ambil keputusan report polis (atas ugutan sebab aku bercakap benar dalam kes ini) dan kemudian aku terus ke kkm dan minta tukar hospital.

Awalnya pengarah hospital lama pun gelakkan aku. Dia tak mahu luluskan borang aku melainkan aku tukar sebab pohon tukar atas kertas itu. Aku dipaksa lagi menipu. Sebab dia tak mahu aku reveal perkara sebenar juga pada kementerian, dia juga berkepentingan.

Siapa peduli apa salah dan apa benar? Tiada. Melainkan nama sahaja yang mahu dijaga dan diperjuangkan.

Akhirnya atas borang pertukaran hospital, aku dipaksa tulis alasan permohonan : mak ayah sakit. Dan dia juga pesan, susah nak dapat tukar. Awak mesti tak dapat. Orang lain ambil masa minimum 3 bulan untuk tukar.

Tapi aku tak putus asa. Aku yakin Allah ada bersama.

Sampai ke kkm, aku beritahu perkara sebenar dari awalnya. Dan alhamdulillah mereka ambil berat kes aku, dalam masa dua minggu, aku dapat tukar ke hospital baru.

.

Inilah zaman paling gelap aku pernah lalu sepanjang houseman. Masa tu aku benci sangat sistem yang ada dan benci orang yang atasan yang salah guna kuasa dan menjadikan orang bawahan sebagai mangsa.

Tidak kisah dari sektor mana. Perubatan, pendidikan, ekonomi, kewangan, semua.

Ia boleh berlaku di mana-mana. Tak semua, tapi ia ada. Selama kita buta dan tidak mahu mengubahnya.

Inilah realiti.

Memang pahit untuk dikenang. Ibarat mimpi, macam dalam TV.

Tapi bila aku ingat balik, semua inilah yang telah berikan aku semula kekuatan. Dan menanamkan aku impian.

Aku mungkin pernah menjadi mangsa sistem dan mangsa kekejaman, namun aku tak pernah menyesal aku berdiri bersama kebenaran biarpun terpaksa 'membuang' diri aku ke tempat lain.

I stand with the truth biarpun terpaksa makan rumput aku takkan bersepakat dengan kebatilan.

Takkan.

.

Di tempat kerja lain (hospital baru) itu, aku masih simpan semua rahsia dan ramai menganggap aku ini houseman 'dibuang'. Ada yang sangka aku ini houseman bermasalah di hospital lama.

Ada yang cakap,

"Eh aku tengok kau bagus je. Kenapa kau kena datang hospital ni?"

Mereka tidak tahu betapa kotornya apa yang telah aku hadapi. Aku telah minta keluar dari lumpur itu atas pilihan aku, kerana tidak mahu bersekongkol bersama semua itu.

Di hospital baru alhamdulillah aku menjadi lebih menghargai kehidupan yang ada. Cuba membuang luka lama.

Aku lebih banyak belajar. Walaupun kena marah, kena didik, buat salah, etc, itu semua biasa. Aku tak kisah mana.

Hampir 80% cerita dari buku yang aku terbitkan adalah dari hospital kedua. Hospital pertama, aku memang sebolehnya menguburkan kenangan yang ada.

Aku berdiam diri bertahun, menyimpan semua kezaliman yang berlaku tanpa ada siapa tahu bahkan sahabat sendiri juga tidak mengetahuinya.

The pain is real.

Sakit yang mengajarkan aku erti dewasa.

.

Dan hari ini,

Aku mengimpikan untuk mengubah sistem ini dan apa yang ada di muka bumi.

Bermula dari diri sendiri, dan InsyaAllah semoga aku jumpa jalan (untuk sambung belajar, mungkin) dalam sesuatu yang aku dapat sumbangkan untuk masa depan yang lebih baik buat generasi baru.

Semoga.

Agar yang zalim tidak terus menindas,

Yang miskin dan kerdil tidak terus ditindas.

Agar yang haq tertegak di bumi,

Dan kebenaran suatu hari nanti akan didengari.

.

250918

Ceritalamayangmasihberbekasdijiwa

Gambar : hospital kedua yang rindulah juga 🙃

25/09/2018 Alifnunwau Nymous on FB

u/CanaryCarnation — 7 days ago

Semalam terbaca satu artikel ni (gambar)

.

Di Sabah rupanya banyak dijual barang asas keperluan dalam bentuk sebegini.

Jual dalam cup kecik-kecik,

Dengan harga sen sen.

Sebab ada orang yang nak beli garam sepaket RM2 pun tak mampu.

Maka alternatif sebegini dilakukan untuk membolehkan orang yang tak mampu beli secara harian dengan kemampuan mereka yang mungkin sen-sen sahaja.

.

Mula-mula bila baca ni,

Aku terfikir juga.

Ruginya beli sikit-sikit macam tu.

Beli sepaket kan lagi jimat.

Tapi hakikatnya..

Memang ada manusia yang dua ringgit pun tak mampu nak beli.

Sehari mampu keluarkan sen-sen untuk sara hidup hari-hari.

Maka cara sebegini lebih praktikal untuk sebuah kelangsungan hidup..

.

Terasa kurangnya bersyukur diri ini.

Kadangkala kita rasa macam kita dah cukup susah,

Rupanya Allah nak tunjuk ramai orang yang jauh lebih susah..

Sebab tu untuk jadi bersyukur ni,

Jangan selalu lihat apa yang tiada,

Tapi lihatlah apa yang Allah telah beri pada kita 😢

.

وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(16:18)

240426

24/04/26 Alifnunwau Nymous on FB

u/CanaryCarnation — 8 days ago

Dalam kesibukan..

Sedih baca berita hari ini.

.

Saat satu dunia masih lagi dalam hangat semangat Flotilla,

Tiba-tiba keluar berita di negara kita yang aman damai ini, budak-budak 17 tahun pandai buat komplot untuk menjayakan satu misi.

Misi apa?

Misi merogol.

.

Kenapa misi?

Sebab mereka bekerjasama menjayakannya.

2 orang jaga line di pintu, tangga.

2 orang gilir-gilir rogol mangsa.

Siap rekod lagi.

.

Bayangkan, mangsa yang hanya berpatah balik ke kelas disebabkan tertinggal barang,

Akhirnya menghadapi kejadian yang menyebabkannya trauma seumur hidup.

Dia telah ditarik, ditutup mulut, diperangkap,

Kemudian dilucutkan pakaian, dirogol,

Oleh 4 pelajar 17 tahun yang bekerjasama untuk menjayakannya.

.

Misi gila yang buatkan aku tertanya..

Apa jenis remaja yang kita hadap hari ini.

Apa jenis generasi yang sedang kita bina saban hari.

Apa yang menyebabkan mereka menjadi seberani ini.

.

Ada teori yang mengatakan,

Kerana tiada rotan di sekolah,

Kerana tiada exam,

Tiada tekanan,

Maka wujud pelajar gila sebegini.

.

Namun bagi aku..

Puncanya utamanya tetap satu.

Tiada didikan agama dalam kekeluargaan.

Ibu bapa, tetap teras utama keluarga.

Jika semua terlalu sibuk membina kehidupan,

Anak-anak terabai,

Tidak dididik dengan iman,

Dibiarkan melayari telefon tanpa sempadan.

Akibatnya?

Otak dipenuhi dengan games, seks,

Yang menyebabkan tidak mampu lagi berfikir secara waras.

Nafsu memandu akal sehingga hilang kasihan, hilang empati, hilang kawalan diri.

Astaghfirullahal azim.

Tak tahu dah nak cakap apa.

Semoga Allah memulihkan remaja perempuan yang trauma ini..

Dan semoga Allah memberi pelajaran pada mereka yang melakukan jenayah terkutuk ini.

.

Saidina Ali pernah berkata,

“Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” ~ Saidina Ali bin Abi Talib r.a

Renungan untuk kita..

Apakah nasib masa depan kita jika remaja hari ini adalah seperti ini.

121025

12/10/2025 Alifnunwau Nymous on FB

u/CanaryCarnation — 10 days ago

Tahniah kepada saudara Alieff Irfan ,

kerana mengambil langkah membubarkan content partnership AITeam selepas teguran masyarakat.

Moga Allah memberi ilham kepada saudara, untuk menghasilkan content yang lebih membina, lebih bersih, lebih matang dan lebih memberi manfaat kepada anak muda.

Moga keputusan ini bukan sekadar respon kepada tekanan, tetapi menjadi permulaan kepada hala tuju baru yang lebih berkat.

Saya melihat keputusan ini sebagai satu perkembangan yang wajar dihargai.

Bukan kerana kita mahu meraikan tekanan atau membesarkan budaya menghukum.

Bukan juga kerana kita mahu melihat sesiapa kalah.

Tidak.

Tetapi kerana dalam dunia yang terlalu mabuk dengan populariti, tidak semua orang berani berhenti berfikir apabila ditegur.

Ada orang apabila ditegur,

dia melawan.

Ada orang apabila dinasihati,

dia menyindir.

Ada orang apabila dikritik, dia berlindung di sebalik peminat.

Jadi,

apabila seseorang memilih untuk menyusun semula langkah selepas menerima teguran masyarakat, itu bukan sesuatu yang kecil.

Itu ruang muhasabah dan peluang pembaikan.

Itu tanda bahawa suara orang ramai masih boleh menggerakkan perubahan.

Dan saya percaya, masyarakat yang masih berani menegur bukan masyarakat yang rosak.

Masyarakat yang rosak ialah masyarakat yang sudah tidak peduli apabila semuanya sudah dinormalisasi.

Ada yang bertanya,

“Kenapa AITeam sahaja?”

“Apa beza dengan drama Melayu?”

“Apa beza dengan filem?”

“Apa beza dengan content creator lain?”

Saya faham soalan itu.

Tetapi soalan itu sebenarnya tidak membatalkan teguran.

Kalau ada sepuluh kebakaran, memadam satu api tidak bermaksud kita merestui sembilan yang lain.

Kalau ada banyak kerosakan, menegur satu kerosakan tidak bermaksud kita membenarkan kerosakan yang lain.

Kita tidak mampu melawan semua perkara dalam satu tulisan.

Tetapi kita boleh mula dengan satu isu yang sedang berada di hadapan mata.

Prinsipnya tetap sama.

Konten media sosial, drama, filem, program hiburan dan iklan semuanya perlu kembali kepada satu neraca,

Adakah ia membina manusia?

Atau sekadar mencuri perhatian manusia?

Adakah konten ini mendidik atau merosakkan rasa?

Adakah ia membawa anak muda lebih tinggi, atau hanya membuat mereka lebih hanyut?

Di sinilah tindakan Alieff Irfan perlu dibaca sebagai satu isyarat kepada industri konten dan perfileman.

Bahawa masyarakat sudah mula letih melihat hiburan dijadikan alasan untuk meremehkan adab.

Letih melihat anak muda dijadikan bahan tontonan tanpa bimbingan nilai.

Letih melihat views menjadi lebih penting daripada kesan jangka panjang kepada jiwa penonton.

Kepada saudara Alieff Irfan,

saudara ada sesuatu yang ramai orang tidak ada.

Saudara ada perhatian anak muda.

Saudara ada pengaruh.

Saudara ada kemampuan membina kelompok.

Saudara ada bahasa yang difahami oleh generasi digital.

Itu semua satu kelebihan.

Tetapi nikmat tidak datang kosong.

Nikmat datang bersama amanah.

Maka persoalan paling besar bukan lagi,

“konten apa yang boleh viral selepas ini?”

Tetapi,

“Anak muda bagaimana yang mahu kita bentuk selepas ini?”

Itu soalan yang kita semua perlu fikirkan.

Kerana content creator hari ini bukan sekadar penghibur.

Secara tidak rasmi, mereka juga mendidik. Membentuk pemikiran anak muda.

Mereka membentuk cara anak muda melihat hubungan, maruah, populariti dan batas.

Mereka membentuk apa yang dianggap normal.

Sebab itu keputusan content creator tidak pernah kecil.

Apa yang saudara pilih untuk paparkan hari ini boleh menjadi standard sosial esok.

Dan,

Apa yang saudara pilih untuk hentikan hari ini boleh menyelamatkan rasa malu ramai anak muda esok.

Dalam Islam, bukan semua kemenangan berbentuk menambah.

Kadang-kadang kemenangan ialah mengurangkan.

Mengurangkan yang melalaikan.

Mengurangkan yang tidak perlu.

Mengurangkan yang membuka fitnah.

Mengurangkan yang membuat hati jauh daripada Allah.

Bukan semua kejayaan ialah terus naik.

Kadang-kadang kejayaan ialah berani turun seketika untuk membetulkan semula arah tujuan.

Allah berfirman,

“Adapun orang yang takut akan keadaan dirinya berdiri di hadapan Tuhannya, serta menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”

Surah an-Nazi‘at, 79:40-41

Ayat ini sangat memberi peringatan buat diri saya dan kita semua.

Ia mengajar kita bahawa nilai seorang manusia bukan hanya pada apa yang dia mampu capai.

Tetapi juga pada apa yang dia mampu tahan.

Tahan daripada terus mengejar perhatian.

Tahan daripada mempertahankan perkara yang salah hanya kerana ramai yang suka.

Tahan daripada mengutamakan tepukan manusia melebihi reda Allah.

.

.

.

Kepada adik-adik AITeam,

jangan lihat teguran ini sebagai penamat.

Lihatlah ia sebagai peluang untuk naik dengan cara yang lebih bersih.

Kalian masih muda.

Masih ada bakat.

Masih ada ruang.

Masih ada masa untuk membina semula kepercayaan masyarakat.

Jangan kecilkan diri dengan konten yang murah nilainya.

Jangan fikir orang hanya akan menonton jika ada kontroversi.

Jangan percaya bahawa hiburan hanya hidup kalau ada unsur yang merosakkan.

Anak muda Muslim boleh kreatif dengan cara yang jauh lebih bermaruah.

Boleh menghiburkan tanpa mengorbankan malu.

Boleh dikenali tanpa menggadaikan prinsip.

Boleh membina pengaruh tanpa menjauhkan orang daripada Allah.

.

.

.

Dan kepada para pembikin drama, filem, program hiburan serta content creator lain,

ini juga peringatan untuk semua.

Jangan tunggu masyarakat marah baru mahu berubah.

Jangan tunggu boikot baru mahu menyusun semula.

Jangan tunggu isu meletup baru mahu bercakap tentang tanggungjawab sosial.

Kita sudah terlalu lama membiarkan hiburan berjalan tanpa neraca agama.

Terlalu lama membiarkan karya dinilai hanya berdasarkan rating.

Terlalu lama membiarkan content diukur hanya dengan engagement.

Sedangkan karya yang besar bukan hanya yang ramai tonton. Karya yang besar ialah karya yang tidak merosakkan orang yang menontonnya.

FINAS, MCMC dan pihak berwajib juga perlu lebih serius memikul amanah.

Tapisan bukan sekadar soal teknikal.

Ia soal pembentukan masyarakat.

Negara ini memerlukan ekosistem hiburan yang lebih bertanggungjawab.

Bukan anti-seni.

Bukan anti-kreativiti.

Tetapi seni yang ada jiwa.

Kreativiti yang ada adab.

Hiburan yang masih tunduk kepada Allah.

Akhirnya, saya ingin mengingatkan diri saya dan semua.

Tujuan teguran bukan untuk membina musuh. Tujuan boikot bukan untuk menghancurkan manusia.

Tujuan boikot ialah menghentikan sokongan kepada perkara yang salah.

Kita bersuara bukan kerana kita lebih suci.

Tetapi kerana kita juga takut.

Takut apabila kemungkaran menjadi biasa.

Takut apabila masyarakat hilang rasa cemas.

Takut apabila anak muda membesar dalam dunia yang mengajar mereka bahawa batas Allah boleh dirunding demi hiburan.

Moga langkah ini menjadi permulaan yang baik.

Moga Allah membimbing saudara Alieff Irfan dan AITeam untuk membina semula dengan lebih matang, lebih beradab dan lebih bermanfaat.

Moga content creator lain mengambil iktibar.

Moga masyarakat terus berani menegur dengan adab.

Dan moga Allah menjaga hati kita semua daripada menjadi manusia yang terlalu selesa dengan perkara yang Dia murka.

Kerana akhirnya, yang kita cari bukan sekadar perhatian manusia.

Yang kita cari ialah reda Allah.

Syahirah Omar

2nd May 2026 on FB

u/CanaryCarnation — 11 days ago

Beberapa hari ini tular video tentang sebuah cafe yang dikatakan membawa konsep “halal”, tetapi suasananya dalam video kelihatan seperti night club.

Dengan lampu merah, suasana gelap.

Lelaki perempuan bercampur menari dan berseronok.

Pada masa yang sama, ada juga yang berkongsi pengalaman bahawa cafe ini sebenarnya biasa sahaja. Katanya tempat itu chill, sesuai untuk lepak, dan tidaklah seperti yang digambarkan oleh video tular tersebut.

Baik.

Mungkin ada sudut yang kita tidak nampak.

Mungkin video itu hanya menunjukkan satu suasana pada satu waktu tertentu.

Namun,

apabila sebuah cafe memilih suasana yang terlalu hampir dengan imej kelab malam, kemudian dinampakkan seperti “halal” kerana tiada alkohol,

Mungkin ada baiknya kita tanya semula diri kita,

Adakah ini sekadar cafe, atau sedang menormalisasikan budaya clubbing versi lebih “bersih” untuk anak muda Muslim?

Sebab itu, maaf.

Tidak ada istilah halal night club dalam Islam.

Walau apa pun alasannya, kita kena berhenti bermain dengan istilah.

Kalau sebuah tempat dibina dengan lampu merah, ruang gelap tertutup, muzik kuat, lelaki perempuan bercampur, dan mood seperti clubbing, kemudian kita kata,

“Tak apa, ini halal sebab tiada arak,”

saya rasa kita sedang mengecilkan maksud halal.

Halal bukan sekadar tiada alkohol.

Halal juga tentang suasana, adab, malu, pergaulan, pandangan dan apa yang masuk ke dalam hati.

Islam bukan hanya melarang arak.

Islam juga menjaga manusia daripada maksiat dan jalan-jalan yang membawa kepada maksiat.

Dan maksiat ini jangan kita sempitkan pada satu dua perkara sahaja.

Maksiat bukan hanya freehair, tidak solat, pergaulan bebas atau pergi ke tempat yang jelas maksiat.

Maksiat ialah apa sahaja yang berlawanan dengan ketaatan kepada Allah.

Apabila Allah menyuruh, kita ingkar.

Apabila Allah melarang, kita langgar.

Apabila agama meletakkan batas, kita sengaja meremehkannya.

Itulah maksiat.

Membuka aurat itu maksiat.

Melalaikan diri juga maksiat.

Meredai suasana yang menjerumuskan diri dengan dosa juga sesuatu yang perlu kita takuti.

Sebab itu Allah bukan hanya berfirman jangan berzina.

Allah berfirman:

“Dan janganlah kamu mendekati zina.”

Surah al-Isra’: 32

Bukan hanya jangan buat.

Tetapi jangan dekati.

Maknanya, Islam bukan sekadar melarang dosa besar. Islam juga menutup lorong-lorong kecil yang boleh membawa manusia ke arah dosa.

Orang beriman bukan hanya menjauhi maksiat.

Orang beriman juga menjauhi tempat yang membuka ruang maksiat, walaupun bukan dia yang sedang bermaksiat.

Adik-adik Gen Z,

Akak faham.

Usia kalian memang usia semua benda rasa nak cuba.

Cafe viral, nak pergi.

Tempat estetik, nak bergambar.

Spot yang ada vibe, nak rasa sendiri.

Tempat yang orang kata rare, nak masuk juga.

Tetapi bukan semua tempat viral selamat untuk iman.

Bukan semua tempat yang tiada arak automatik baik untuk Muslim.

Bukan semua benda yang dipanggil safe space benar-benar menyelamatkan jiwa.

Dan setiap kali kita memilih menjauh daripada tempat yang membawa fitnah, itu bukan tanda kita kolot.

Itu tanda kita masih ada iman sense dalam diri kita.

Moga Allah membimbing kita semua.

Syahirah Omar

📸 Thread

26 April 2026 on FB

u/CanaryCarnation — 13 days ago

Lukisan ini dirampas daripada seorang murid perempuan darjah 2.

Dan ini bukan berlaku di negara jiran.

Ia berlaku di sini.

Memang benar, hari ini ramai anak-anak suka menonton kandungan dari negara jiran. Tetapi isu ini tidak boleh disandarkan bulat-bulat pada tempat asal kandungan semata-mata.

Yang lebih penting ialah hakikat bahawa anak-anak kita sedang terdedah kepada bahan yang tidak sesuai pada usia yang terlalu muda.

Bayangkan,

usia baru 8 tahun, tetapi sudah mampu melukis perkara begini.

Kalau benar ini berpunca daripada terlalu banyak menonton kandungan YouT*** yang tidak sesuai, maka ini bukan isu kecil. Ini bukan sekadar kisah seorang anak. Ini cerminan kepada apa yang sedang berlaku dalam banyak rumah hari ini.

Ini wake-up call buat diri saya dan semua ibu ayah.

Anak-anak sedang terdedah terlalu awal kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Dan yang lebih membimbangkan, ramai orang dewasa masih belum benar-benar cemas.

Hari ini, ramai anak didiamkan dengan gajet.

Bila anak bosan, diberi telefon pintar.

Bila anak meragam, dibuka YouT***.

Bila ibu ayah penat, skrin dijadikan peneman anak-anak.

Bukan kerana ibu ayah tidak sayang.

Tetapi hidup terlalu sibuk.

Sibuk mencari rezeki.

Sibuk mengurus rumah.

Sibuk dengan urusan yang tidak pernah habis.

Dan satu lagi hakikat yang kita perlu akui, hari ini bukan anak-anak sahaja yang ketagih gajet. Orang dewasa pun sama. Tua atau muda, ramai yang hidup melekat dengan skrin. Di meja makan pegang telefon pintar. Di ruang tamu pegang telefon pintar. Sebelum tidur pegang telefon pintar. Bangun tidur pun cari telefon pintar.

Akhirnya, anak-anak membesar dalam suasana yang miskin teladan.

Macam mana anak mahu diajar mengawal skrin, kalau orang dewasa di sekelilingnya sendiri gagal mengawal skrin?

Macam mana anak mahu belajar fokus, kalau rumah sentiasa dipenuhi wajah-wajah yang tunduk kepada telefon pintar?

Macam mana anak mahu kenal erti kehadiran, kalau yang ada di depan mata cuma jasad, tetapi jiwa ibu ayah sibuk di alam lain?

Inilah antara kelemahan besar keibubapaan zaman ini.

Bukan sekadar kerana gajet ada di tangan anak, tetapi kerana gajet sudah terlalu banyak mengambil tempat dalam jiwa seluruh keluarga.

Apabila anak diberi gajet untuk “tenang sekejap”, kita sebenarnya sedang menyerahkan anak kepada sesuatu yang kita sendiri tidak kawal sepenuhnya.

Sedangkan apa yang menenangkan itu juga sedang membentuk.

Ia membentuk imaginasi anak.

Ia membentuk rasa ingin tahu anak.

Ia membentuk apa yang anak anggap biasa.

Sebab itu menjadi ibu ayah tidak boleh dijalani secara autopilot.

Tidak boleh sekadar pastikan anak kenyang, berpakaian, pergi sekolah, lalu anggap tugas sudah selesai.

Dalam Islam, tugas ibu ayah jauh lebih besar daripada itu.

Kita bukan hanya dipertanggungjawabkan untuk membesarkan anak, tetapi untuk mendidik mereka, membina iman mereka, menjaga hati mereka, dan membimbing mereka agar kenal Allah, kenal dosa, kenal malu, dan kenal batas.

Allah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka...”

(Surah At-Tahrim: 6)

Ayat ini bukan ayat biasa. Ayat ini peringatan besar buat diri saya sendiri.

Allah bukan sekadar suruh kita mengurus keluarga. Allah suruh kita menyelamatkan diri kita dan seluruh ahli keluarga kita daripada api neraka.

Maknanya, tugas ibu ayah bukan sekadar memastikan anak hidup, tetapi memastikan anak tidak binasa.

Bukan sekadar memastikan anak berjaya di dunia, tetapi memastikan hati mereka tidak rosak, akhlak mereka tidak runtuh, dan hidup mereka tidak dipandu oleh hawa nafsu.

Kerana itu, menjadi ibu ayah tidak boleh sekadar ikut rutin. Tidak boleh sekadar lepaskan hari ke hari. Tidak boleh sekadar rasa cukup bila anak makan, pakai, sekolah, dan tidur.

Kerana Allah akan tanya lebih daripada itu.

Apa yang kita benarkan masuk ke dalam rumah?

Apa yang kita biarkan membentuk fikiran anak?

Apa usaha kita untuk membina iman mereka?

Inilah beratnya amanah menjadi ibu ayah.

Anak-anak bukan sekadar amanah untuk dibesarkan. Anak-anak ialah amanah untuk dipimpin ke jalan yang selamat.

Sebab itu, apabila kita bercakap tentang gajet, kandungan yang merosakkan, atau pengaruh luar, ia bukan isu kecil.

Kerana setiap pintu yang kita biarkan terbuka boleh menjadi jalan kerosakan masuk ke dalam jiwa anak.

Begitulah biasanya kerosakan bermula.

Bukan terus dengan dosa besar.

Tetapi dengan pintu kecil yang dibiarkan terbuka.

Mula-mula menonton.

Kemudian timbul rasa ingin tahu.

Kemudian mahu mencuba.

Kemudian yang salah tidak lagi terasa jijik.

Akhirnya, lahirlah kerosakan yang jauh lebih besar.

Sebab itu jangan pandang ringan apa yang masuk ke mata anak.

Apa yang orang dewasa anggap “benda kecil” kadang-kadang menjadi benih kerosakan dalam jiwa anak yang masih mentah.

Lihat sekeliling kita.

Rosaknya pergaulan.

Hilangnya rasa malu.

Normalisasi perkara lucah.

Hubungan bebas.

Zina.

Anak luar nikah.

Semua ini tidak muncul tiba-tiba.

Ada proses yang mendahului.

Ada pendedahan yang dibiasakan.

Ada hiburan yang merosakkan perlahan-lahan.

Ada budaya yang mengajar anak melihat dosa tanpa rasa bersalah.

Sebab itu kita perlu duduk dan berfikir.

Dari arah mana musuh sedang bekerja?

Ada yang datang melalui hiburan.

Ada yang datang melalui permainan video.

Ada yang datang melalui video pendek.

Ada yang datang melalui kandungan yang dibungkus sebagai lawak, trend, atau hiburan kanak-kanak.

Nampak ringan.

Tetapi kesannya berat.

Ia menyerang diri kita dan keluarga kita dari pelbagai arah. Bukan dengan paksaan, tetapi dengan pembiasaan.

Maka muhasabah kita hari ini bukan sekadar,

“Kenapa murid ini jadi begitu?”

Soalan yang lebih jujur yang perlu kita tanyakan kepada diri sendiri ialah,

Apa yang sedang kita benarkan masuk ke dalam dunia anak-anak kita?

Adakah kita benar-benar mendidik, atau sekadar mengurus?

Adakah kita sedang membina iman mereka, atau hanya memastikan jadual harian mereka berjalan lancar?

Adakah kita hadir dalam jiwa mereka, atau hanya hadir pada keperluan zahir mereka?

Menjadi ibu ayah pada zaman ini memang meletihkan.

Tetapi sebab itulah kita lebih perlu sedar.

Anak-anak tidak boleh dibesarkan sekadar dengan makanan, pelajaran, dan kemudahan. Mereka perlu dibesarkan dengan perhatian, pemantauan, perbualan, batas, doa, dan tarbiah yang berterusan.

Semoga Allah bantu kita menjadi ibu ayah yang bukan hanya penat mengurus hidup anak, tetapi benar-benar sedar untuk mendidik, membina iman, dan menjaga mereka agar tidak terjerumus ke dalam api neraka.

Moga Allah membimbing kita.

Syahirah Omar

📸 bbcha88

22 April 2026 on FB

u/CanaryCarnation — 14 days ago

Akhirnya, acara ini diluluskan.

Dan sejujurnya, saya sangat kecewa.

Lebih mengecewakan, akhirnya MOTAC sendiri memilih untuk mengangkat budaya hedonisme sebagai salah satu cara menarik pelancong datang ke Malaysia.

Inikah idea terbaik yang kita ada?

Malaysia ini negara yang miskin budaya sangatkah sampai yang mahu dijual kepada dunia ialah pesta air, hiburan melampau, suasana liar dan persembahan yang lebih banyak membangkitkan nafsu daripada membina jiwa?

Saya yakin, pasti ada orang bawahan yang dari awal sebenarnya tidak pernah benar-benar bersetuju dengan semua ini.

Mungkin ada yang gelisah dan hanya mampu memendam. Mungkin juga suara mereka pernah cuba disampaikan, tetapi tidak didengari.

Saya percaya itu.

Kerana pastinya tidak semua dalam sebuah sistem itu reda dengan setiap keputusan yang dibuat di atas.

Namun di sinilah letaknya titik yang paling berat.

Apabila orang atasan sendiri memilih untuk diam, atau lebih buruk, memilih untuk meluluskan, sedangkan di hadapan mata ada perkara yang jelas menimbulkan kemungkaran dan keresahan besar rakyat, maka di situlah letaknya masalah paling besar.

Kerana orang bawahan mungkin terikat.

Namun, seorang pemimpin diberi kuasa untuk membuat keputusan.

Untuk berkata tidak.

Untuk menahan.

Untuk menjaga sempadan.

Yang lebih menyedihkan,

ketika rakyat diminta berjimat, ketika negara sendiri bercakap tentang penjimatan, pengurusan tenaga dan keutamaan yang lebih penting, masih ada acara seperti ini yang dianggap layak untuk diluluskan.

Saya benar-benar ingin bertanya kepada para pemimpin,

Kenapa perlu menjemput artis seperti DOLLA ,De Fam, dan ramai lagi yang sememangnya dikenali dengan imej persembahan yang sensual dan mudah menaikkan syahwat?

Kenapa yang dipilih bukan seni dan budaya yang mengangkat negara?

Dan kenapa pula perlu membawa masuk barisan DJ antarabangsa dengan muzik hard techno, liar dan melalaikan?

Adakah ini budaya kita?

Adakah ini wajah Malaysia yang mahu para pemimpin tonjolkan kepada dunia?

Atau para pemimpin sudah terlalu lama berada di atas sampai tidak lagi nampak apa yang rakyat biasa nampak dengan begitu jelas?

Janganlah buat-buat buta.

Janganlah buat-buat tuli.

Rakyat bukan bercakap tanpa sebab.

Rakyat bukan membantah tanpa asas.

Rakyat nampak ke mana hala tuju ini sedang dibawa.

Dalam banyak-banyak perkara yang sedang menekan hidup rakyat hari ini, inikah yang dianggap perlu?

Dalam keadaan rakyat bergelut dengan pelbagai krisis, inikah yang dipilih untuk diberi ruang?

Dan yang paling berat, di hadapan Allah nanti, apakah jawapan para pemimpin Muslim yang meluluskan semua ini?

Apakah mereka benar-benar tidak nampak apa yang dibimbangkan rakyat sejak awal?

Atau mereka nampak, tetapi memilih jalan yang paling selamat?

Dalam Islam, kepimpinan bukan sekadar gelaran.

Kepimpinan ialah amanah.

Dan amanah itu bukan ringan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.”

Riwayat Sahih Muslim 1829a.

Hadis ini pendek.

Tetapi cukuplah untuk menggoncang hati sesiapa yang masih faham bahawa kuasa itu bukan kelebihan semata-mata.

Kuasa ialah hisab.

Allah SWT pula berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Ayat ini sangat berat.

Kerana amanah bukan sekadar menjaga kerusi.

Amanah bukan sekadar menjaga hubungan politik.

Amanah juga bermaksud menjaga arah masyarakat.Menjaga apa yang patut dibenarkan.Menjaga apa yang patut ditolak.Menjaga apa yang tidak wajar dibiasakan.

Sebab itu, apabila seorang pemimpin mempunyai kuasa untuk menahan, tetapi memilih untuk tidak menahan, mempunyai ruang untuk bersuara, tetapi memilih untuk diam, mempunyai kedudukan untuk menetapkan batas, tetapi memilih untuk meluluskannya juga, maka itu bukan lagi sekadar kelemahan pentadbiran.

Itu kegagalan memahami beratnya amanah.

Dan di situlah rakyat berhak berasa kecewa.

Kerana yang paling ditakuti bukan hanya keputusan yang salah.

Tetapi apabila orang yang sepatutnya menjaga masyarakat sudah tidak lagi merasakan perlunya mereka menahan kemungkaran daripada terus dinormalisasikan.

Hari ini mungkin mereka fikir ini cuma satu acara.

Tetapi setiap perkara yang dibiarkan atas nama hiburan, atas nama industri, atas nama pelancongan, tetap meninggalkan kesan.

Sedikit demi sedikit, ia mengajar masyarakat untuk menjadi semakin biasa.

Semakin dipandang remeh.

Semakin hilang rasa malu.

Semakin tak ada rasa bersalah.

Dan apabila itu berlaku, jangan salahkan orang bawahan semata-mata.

Lihat juga kepada mereka yang di atas.

Yang punya kuasa.

Yang boleh menahan.

Yang boleh berkata tidak.

Tetapi memilih untuk tidak bertindak.

Saya tidak menulis ini kerana mahu menang hujah. Saya juga tidak menulis ini kerana mahu dilihat paling suci.

Saya menulis ini kerana saya percaya, masih ada perkara yang tidak boleh kita pandang ringan.

Saya menulis ini kerana saya tidak mahu generasi selepas kita membesar dalam suasana yang semakin hilang batas, tetapi semua orang sibuk menyebut budaya, ekonomi dan keterbukaan.

Saya menulis ini kerana saya percaya pemimpin Muslim sepatutnya lebih takut kepada hisab daripada takut kepada tekanan industri.

Kalau mahu kekal memerintah, jangan remehkan suara rakyat dengan jawapan yang selamat.

Kerana jawapan yang kabur tidak menenangkan rakyat.

Ia hanya membuat rakyat rasa tidak didengari.

Dan apabila rakyat mula rasa suara mereka tidak lagi bermakna, di situlah kepercayaan mula hilang terhadap pemimpin mereka.

Bukan semua yang menguntungkan layak diluluskan.

Bukan semua yang boleh dibuat wajar diraikan.

Dan bukan semua yang popular patut dijadikan wajah negara.

Hari ini saya benar-benar kecewa.

Bukan hanya kerana acara ini diluluskan.

Tetapi kerana ia membuat kita tertanya-tanya,

dalam banyak tangan yang punya kuasa hari ini,

berapa ramai yang masih benar-benar faham bahawa amanah itu akan dipersoalkan di hadapan Allah.

Moga Allah selamatkan negara kita dari bala dan bencana.

Syahirah Omar.

23 April 2026 from FB

u/CanaryCarnation — 15 days ago

Macam mana boleh seorang Melayu Muslim yang berpangkat dalam ketenteraan Malaysia boleh mabuk dan langgar orang guna kereta sampai maut?

Macam mana boleh orang Muslim kemaruk dadah sampai boleh bunuh ahli keluarga dengan cara sangat kejam?

Manusia semua individu, kita tak boleh pukul rata nak kata "orang Islam bebas daripada jenayah" tapi satu perkara yang membuatkan saya sedih jugak lah sebab sepatutnya Islam dah haramkan arak, lagi2 dadah. Tapi orang Islam jugak yang menyebabkan orang mati kerana membawa kenderaan dalam cara melulu bawah pengaruh alkohol. Dah lah dia dalam tentera.

Aku ingat lagi sembang dengan kanak2 kecil, tanya beberapa mereka "cita-cita nak jadi apa dah besar nanti?"

"Askar!"

Sedih dapat tahu bahawa minum arak, main Ye Ye, curang dalam perkahwinan, semua "perkara biasa" bila dah masuk tentera.

"Biasa lah tu, tentera."

Malu. Buat malu orang tentera lain yang jaga diri, jaga maruah, jaga kesetiaan, jaga agama, jaga negara.

Malu orang Islam lain nak kata "Itulah saudara saudari se-Islam".

Tolong sedar diri, wahai Muslim.

Mungkinlah nak merasa alkohol, walaupun dosa, tapi konon nak merasa, kan? Minum sorang2. Jangan ajak orang. Jangan bawak kereta. Minum dekat rumah, tidur terus. Dah. Simpan dosa sorang2, jangan pandang endah "Don't Drink and Drive", konon Macho, sampaikan mati anak orang.

Please, wahai Muslim.

Kau dah nampak kes dadah buat orang jadi Zombi, langgar kereta sampai remuk, tayar pecah tapi masih nak jalan dengan kereta tanpa tayar. Boleh bunuh anak bini, ibu ayah, sampai kerat tangan kaki untuk sorok dosa keji. Malu.

Malu.

Malu dengan Allah. Ittaqullah.

reddit.com
u/CanaryCarnation — 20 days ago